Monday, September 25, 2006

2 RAMADHAN

Pagi tadi saya online. Dan saya sempat buat ini..


Oh.. apa dah jadi dengan azam saya? Lepas baca semua akhbar bahasa melayu online, cepat-cepat saya offline YM. Padahal tangan ni gatal-gatal mahu membalas panjang-panjang message dia. Bila sudah offline, mengada-ngada pula tangan saya ni mahu meng'online'kan YM balik. Akhirnya saya memujuk nafsu dan off komputer. Kebetulan seorang kawan telefon dan minta saya temankan dia pergi membeli-belah barang dapur. Dia lelaki.

Macam semalam, saya berbaris lagi di pasaraya ni untuk beli gula. Lenguh jangan cakap. Beratur hampir setengah jam tapi seorang cuma boleh beli 1kg saja. Dan macam semalam juga, kedai tu bagi gula-gula sebijik. Kali ni cepat-cepat saya masukkan dalam poket seluar. Takut terlalai lagi. Gula tu saya bagi kat kawan tadi sebab rumah dia langsung kehabisan gula. Lagipun saya baris tadi memang untuk tolong dia. Dapatlah juga 2kg hari ni.

Habis membeli-beli dia ajak saya berbuka dekat rumah makcik dia. Saya ikut saja. Dan petang tadi kami berbuka dengan cucur udang campur telur dan mee 1.30 dari pasar malam.

Hari ini saya tidak pergi terawikh. Semalam pun tidak. Dan Kemarin dulu pun tidak. Kehadiran=0

Sunday, September 24, 2006

RAMADHAN 1427

Alhamdulillah..tahun ini saya masih sempat melakukan ibadah puasa pada usia saya yang menjangkau ke 26 tahun. Semoga amalan puasa saya tidak dicemari oleh perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Sekarang ini pun saya sedang berusaha untuk tidak mengadakan sesi dialog @ sesi mengumpat.

Semalam saya ada terima satu SMS dari seorang kawan:

"Kalau hati teringin nak buat jahat, tanya pada Iman. Pasti Iman kata tak boleh. Jangan tanya Aiman nanti dia kata, 'Aiman tak kisah'."

Tersenyum-senyum saya lepas itu bila teringatkan peristiwa masa dekat kem dulu. Ada seorang pelatih yang namanya Fazali Bin Sad. Tapi disebabkan dia selalu sangat menggunakan "Aiman tak kisah", orang panggil dia dengan nama Aiman. Akhirnya, saya sendiri hampir-hampir lupa nama asal dia dan ada juga orang yang lupa terus nama dia. He-he, kuat betul aura Aiman.

Thursday, September 21, 2006

IKAN JERUNG VS BERUDU

Pagi tadi selepas bagi 'ungau-ungau' makan, saya turun sawah. Hari ini hari mencabut semai. Penat jangan cakaplah. Tapi keletah anak buah bernama Shincan mengikis sedikit demi sedikit rasa penat itu. Terkekek-kekek saya ketawa bila melihat dia menjerit-jerit beritahu mamanya dia jumpa ikan paus. Siput b*** disangka ikan paus. He-he-he.

Dan dia juga telah membunuh seekor 'ikan jerung' kerana dia telah memicit-micit perut dan mencucuk-cucuk mata dan menarik-narik kaki ikan itu. Banyak kali kami beritahu itu cuma seekor berudu tapi banyak kali juga dia tidak peduli. Dan lepas itu dia bertanya kenapa ikan jerung dia macam rupa katak.

Tuesday, September 19, 2006

DRAF-DRAF-DRAF

Terlalu banyak kisah yang saya tulis hanya menjadi draf saja akhirnya. Tak tahu lah apa pasal. Tapi yang paling penting Honeybiru sudah kembali. Namun kenapa dia masih bersedih..? Saya terlalu teringin untuk bertemu dengannya. Sepanjang dua tahun saya ikuti jejaknya, saya hanya berpeluang berbicara dengannya melalui ruang YM. Tidak apalah... mungkin belum masanya lagi walaupun sudah tiga empat kali saya mimpi dia bermalam di rumah saya.

Lain-lain hal, saya sudah delete nombor Paci. Mungkin ini langkah yang perlu saya ambil supaya apabila saya tekan-tekan handphone, saya tidak nampak namanya dan tidak tekan 'call' macam yang selalu saya buat. Baru tadi saya lekatkan poster lukis sendiri 'Orang tak hendak, jangan terhegeh-hegeh' dekat pintu bilik. Bersungguh-sungguh nampaknya saya kali ini.

Monday, September 18, 2006

NO SUBJECT

Tengahari tadi saya masuk YM. Saya nampak Paci online. Gatal tangan sangat kirim instant message dan mengada-ngada harapkan balasan. Saya tahu dia sibuk tapi saya tetap mahu dia balas message saya. Dan kotak YM saya terus sepi sehingga saya offline 3 jam kemudian. Geram punya pasal, mouse yang baru bapa beli saya picit-picit sampai lenguh-lenguh tangan. Dan Adib yang belum cukup setahun menangis-nangis mahu mencuba permainan yang baru saya buat tadi.

Saturday, September 16, 2006

GEMBIRA DALAM PURA

Syukurlah... tempoh 2 bulan lebih Program Latihan Khidmat Negara Kump 3 siri 3 akhirnya berakhir hari ini. Seawal jam 7 pagi, bas-bas yang telah disewa khas sudah membanjiri dataran letak kereta Kem KK Di Bawah Bayu.

Terkebil-kebil saya bangun pagi tu dengan keadaan bilik macam kapal pecah. Satu benda pun belum saya kemas sedangkan pagi ini saya ditugaskan untuk escort pelatih-pelatih yang balik ke Tambunan dan Keningau. Macam lipas kudung saya mengemas pagi tu. Mana barang pakai buang saya tinggalkan saja di bilik tu. Mana yang muat saya masukkan dalam beg. Mana yang tidak muat saya masukkan dalam beg plastik. Mana lagi-lagi yang tak muat saya sumbatkan dalam beg kertas. Mana lagi-lagi-lagi yang tak muat saya sumbat-sumbat dalam beg sampai ia kelihatan berbenjol-benjol. Oh..! Sungguh hodoh wajah terkini beg itu. Tapi pada waktu itu saya tidak kisah sebab yang penting barang-barang saya semuanya mesti dibungkus ikut saya balik kampung.

Itu cerita lain. Ada cerita lain yang menyelit. Sampai hati Paci tidak telefon saya balik. Beria-ia saya memegang handphone sepanjang masa. Berkali-kali saya pesan pada roomate suruh jawab call kalau saya solat atau ke tandas. Konon-konon takut terlepas panggilan. Itu kisah 4 hari lepas. Alih-alih sampai sekarang dia tak call. Agaknya saya yang terlalu mendesak sampai nafas dia jadi sesak. Memang saya muka tak malu..

Tengahari itu, tiba di Balai Polis Keningau, saya sempat mengirim SMS kepada dia. Dan dia banyak-banyak-banyak-banyak kali minta maaf. Lepas tu tangan ni gatal-gatal mahu reply balik tapi akhirnya saya simpan handphone dalam beg.

Tuesday, September 12, 2006

LAST CALL

Dalam kesibukan membuat persiapan terakhir majlis penutupan PLKN, saya telefon Paci. Saya tanya dapat tak jumpa 16 September sebelum saya balik kampung. Ini kali ketiga saya telefon bertanyakan hal sama. Dia cakap tak pasti lagi sebab hari itu ada majlis penutupan bulan kemerdekaan. Saya cakap tidak apa dan dia cakap dia akan telefon balik kasi confirm. Saya cakap tidak apalah, dan dia cakap dia akan telefon juga.

Dan ini panggilan terakhir saya kepada dia.

Wednesday, September 06, 2006

PILOT YANG TERHEMPAS

2 hari lepas saya ikut Ex-Wirajaya. kemuncak kepada segala aktiviti Fizikal. Ikut syarat, semua kena tidur dalam hutan. Tapi saya dan beberapa kawan lain mengada-ngada minta hantar balik tidur dalam kem. Bila saya disuruh berlakon sebagai pilot yang kapalnya terhempas, berfikir-fikir saya. Mahu pakai baju apa nanti..? Penyelaras minta saya pakai baju askar, pinjam dari ustaz Latif. Saya setuju saja, lagipun saiz kami lebih kurang saja. Dan ustaz keluarkan baju baru dia dan siap bagi pesan kat saya, "ini baju baru, boleh pakai terus, tak payah basuh". Saya tersenyum-senyum mengada. Saya cakap kat ustaz, saya mahu pinjam baju yang belum basuh, senang aura ustaz masuk dalam badan saya. Ustaz senyum-senyum saja. Tapi askar yang seorang itu pula gelak-gelak sampai habis nafas. Sampai tak perasan daging yang dibakarnya sudah hitam legam.

Dan hari kejadian, dari awal-awal lagi hancur. Saya dan seorang lagi pelakon pilot masuk hutan ke lokasi kapal terbang terhempas seawal 5:45 pagi. Pasukan penyelamat (pelatih-pelatih tu la) lapor diri jam 6:30 pagi dan menjalankan misi selepas itu. 2 jam terdampar dalam hutan bagai tiada harapan untuk ditemui. Dari jauh sayup-sayup saya dengar suara mereka bergelak ketawa dan menyanyi. Marah dan macam-macam lagi dalam hati saya pada waktu itu. Mereka ni macam tidak serius menjalankan misi menyelamat. Tidak tahulah saya kalau benda ni betul-betul terjadi dalam kehidupan mereka. Masa berterusan hampir 3 jam. Saya sudah terlebih menderma darah kepada nyamuk-nyamuk yang setia di sekeliling. Belum dikira lagi perihal semut besar warna hitam yang terserlah kejantanan mereka. Mujur juga saya pakai baju askar. Tebal dan kebal. Kerana tidak tahan, saya dan pelakon seorang lagi menjerit-jerit minta tolong. Berkat dari itu barulah pasukan penyelamat menjumpai kami.

Kecewa saya bertambah-tambah apabila melihat mereka menjalankan latihan pertolongan cemas. Saya yang mengalami patah kedua-dua belah tangan dan kaki, patah tengkuk dan tulang belakang dilayan seperti orang terseliuh kaki saja. Berkali-kali saya menjerit bila mereka memindahkan badan saya ke stretcher dengan ganas dan selamba dek. Tapi yang bestnya, bila saya minta coke sejuk, coklat, kopi, berlari-lari anggota kumpulan mereka balik ke markas untuk mencari apa yang diminta. Tidak pula saya tahu, masuk hutan pun mereka sempat bawa makanan-makanan seperti ini. Sudah..habis cerita pasal pilot yang terhempas.

Yang indahnya, terlalu banyak pengalaman yang saya timba sepanjang mengikuti latihan ini. Dan saya tidak akan lupakan sesi bakar-membakar ayam dan daging kambing serta sesi makan-memakan roti canai yang dibelanja oleh Komandan. Hebat betul lakonan saya kata pelatih-pelatih tu dan mereka memanggil saya 'Sarjan Latifah'. Ha-ha-ha, berkat baju askar Ustaz Latif.